Melihat sambutan baik daripada penduduk sekitar Kota Belud terhadap pembukaan Pusat Anak Permata Negara Kota Belud sangat menggembirakan hati pihak kami dan membuatkan kami merasa dialu-alukan untuk berada di daerah ini. Ramai ibu bapa dari pelbagai bangsa, agama dan bidang pekerjaan berminat dengan program ini. Terdetik di hati kami, adakah mereka sedar tentang pentingnya pendidikan awal kanak-kanak atau berminat dengan program ini kerana “akhirnya dah ada orang jaga anak saya”, “tak perlu lah fikir nak hantar anak kat mana”, “senang lah nak buat kerja di rumah”, “ tak perlu lagi lah susahkan mak jaga anak aku”. Walau apa juga sebab dan alasannya pihak kami menerima dengan hati terbuka, sesungguhnya menghantar anak ke Taska yang memberikan pendidikan awal kepada anak-anak sudah merupakan tindakan bijak berbanding membiarkan anak berada bersama pembantu rumah.
Kami teringat pada kata-kata seorang ibu muda yang sangat manis wajahnya “untungnya kalau anak saya dapat masuk di sini, cikgu pun ada ijazah walaupun cuma ajar budak-budak”. Tersenyum kami dibuatnya, ini salah satu bukti bahawa pentingnya pendidikan awal kepada kanak-kanak. Oleh itu, kerajaan memberikan yang terbaik kepada rakyat dengan menyediakan pendidik bertaraf ijazah kepada anak-anak kecil yang berusia 1 hingga 4 tahun. Pendidik yang diamanahkan mengasuh dan mendidik anak-anak kecil ini sama taraf dengan guru yang mengajar pelajar sekolah menengah. Anak-anak kita wajar menerimanya kerana kita mahu mereka menjadi permata yang berharga kepada negara. Kami teringat pula pada kata-kata mentor kami “kalau anak duduk di rumah je dengan pembantu rumah, maka jadilah anak macam pembantu rumah. Berfikir macam pembantu rumah. Bercakap indon macam pembantu rumah”. Maknanya, anak kita akan menjadi seperti siapa yang mengasuh dan mendidik mereka. Oleh itu, berilah yang pendidikan terbaik kepada anak-anak kita.
No comments:
Post a Comment